photo banner-598x80-001a_zps49a50159.gif

Tuesday, September 3, 2013

Pedih ulu hati : bagaimana mengawal dan mencegahnya?

Gejala pedih ulu hati atau pedih perut sering dialami terutama apabila perut kosong. Apa yang berbeza adalah tahap keterukkannya sama ada ringan atau sangat teruk. Ia juga bergantung kepada bagaimana anda menjelaskan maksud pedih ulu hati : adakah terasa seperti dicucuk-cucuk, pedih luka, sebu, panas, angin, loya, muntah dan sebagainya…. ( setiap orang menjelaskan dengan cara tersendiri ) . Kebanyakan menggambarkan pedih ulu hati sebagai ‘refluks’.
Apakah yang dikatakan ulu hati ?

Penggunaan istilah tersebut sebenarnya tidak merujuk kepada masalah hati tetapi masalah berkaitan perut atau gastrik. Apabila ditanyakan di manakah bahagian yang sakit kebanyakan akan menunjukkan bahagian tengah, di bawah tulang dada… iaitu kedudukan di mana (secara anggaran) saluran esofagus bersambung dengan perut. Kedudukan tersebut juga terletaknya sebahagian daripada hati. Jadi istilah ‘ulu hati’ mungkin ada benarnya…( merujuk kedudukan anatomi )
Kenapa berlaku pedih ulu hati ?
Ia berlaku akibat daripada masalah penghadaman (dyspepsia atau angin), pengumpulan asid (ulser, gastrik) atau aliran balik asid daripada perut ke dalam esophagus (refluks) lalu menyebabkan radang pada permukaan esofagus.
*Esofagus : salur pemakanan yang menghubungkan antara tekak dengan perut
Bagaimana mencegahnya ?
  • Makan dengan teratur dalam kuantiti yang betul. (kuantiti sedikit dan kerap lebih baik)
  • Pemilihan makanan yang betul – elakkan makanan pedas, terlalu berempah, peppermint, berminyak dan sebagainya. (elakkan jika bahan makanan tersebut menerukkan gejala)
  • Elakkan minuman beralkohol dan kafein (kopi)
  • Elakkan makan dan minum sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur (membolehkan perut dalam keadaan ‘rehat’ semasa tidur dan kurang risiko refluks)
  • Pastikan mengambil sarapan pagi (perut telah menjadi kosong semasa tidur sepanjang malam)
  • Hentikan tabiat merokok (bahan kimia dalam rokok boleh meningkatkan risiko refluks)
  • Tidur atau baring dengan kedudukan bahagian atas badan lebih tinggi daripada perut untuk mengurangkan risiko aliran balik asid  ke esofagus ( cara : tinggikan bahagian kepala katil)
  • Elakkan terlalu banyak berbaring atau membongkok ke hadapan terutama siang hari
  • Bersenam untuk kawal berat badan dan mengelakkan obesiti (kegemukan terutama di bahagian perut akan memberikan tekanan kepada perut menyebabkan refluks boleh berlaku)
  • Berjumpa doktor jika gejala yang dialami berpanjangan dan ambil ubat seperti yang disarankan (gejala yang sama tidak semestinya merujuk kepada penyakit yang sama)
NOTE : maklumat adalah terhad. Rujuklah doktor anda untuk pemeriksaan dan maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment