photo banner-598x80-001a_zps49a50159.gif

Sunday, March 10, 2013

Ekzema tak berjangkit


Ekzema tak berjangkit
KULIT menjadi kering, merah dan gatal. Ini gejala biasa apabila seseorang mengalami ekzema, iaitu antara masalah kulit yang sangat lazim pada kanak-kanak dan orang dewasa. Pada kanak-kanak, ekzema biasanya bermula sebelum mereka berumur 12 bulan.

Bahagian kulit yang diserang ekzema bukan saja menjadi kering dan gatal, tetapi kadangkala boleh merekah, berkudis dan berkeping. Bagaimanapun, dengan penjagaan baik, masalah ekzema boleh dikawal.

Penjagaan kulit kanak-kanak yang ada ekzema biasanya satu proses berterusan sehingga besar. Walaupun keadaan kulit ketika serangan agak menakutkan, ia tidak berjangkit.

Tanda dan gejala

Serangan ekzema boleh berlaku pada mana-mana bahagian kulit. Bayi biasanya mengalami ruam kering dan merah yang sangat gatal pada muka. Kadangkala ruam ini boleh merebak ke kulit kepala, belakang telinga, badan, tangan dan kaki.

Pada kanak-kanak lebih besar, ruam ini biasanya muncul di lutut, pergelangan tangan, siku, buku lali dan sesetengahnya mengalami masalah ruam di seluruh badan. Ekzema tidak menyerang sepanjang masa; ia datang dan pergi. Justeru, ibu bapa perlu belajar cara menangani dan menguruskan ekzema supaya anak boleh membesar tanpa banyak masalah.

Punca


Sehingga kini punca ekzema masih tidak diketahui. Jika seorang ahli keluarga mempunyai ekzema, asma atau alahan rinitis (alahan pada debunga), anak anda ada peluang besar untuk turut mengalaminya. Sesetengah kanak-kanak yang ada ekzema turut mendapat asma atau alahan rinitis.

Beberapa faktor boleh merangsang serangan ekzema iaitu:

Cuaca yang terlalu panas.
Kulit terlalu kering.
Keradangan akibat sabun mandi, bahan pencuci, fabrik dan bahan kimia lain.
Alahan makanan.
Alahan pada habuk rumah, debunga atau bulu haiwan.
Jangkitan virus dan bakteria.
Penjagaan di rumah

Bagi kebanyakan kanak-kanak, ekzema boleh dikawal dengan baik melalui beberapa cara iaitu:

Elak punca rangsangan (seperti yang disenarai di atas).

Pastikan kulit anak anda sentiasa lembap.

Kurangkan rasa gatal (akibat kekeringan) dengan menggunakan kain lembap.

Elak perkara atau bahan yang boleh merengsakan kulit. Setiap kanak-kanak ada tindak balas berbeza dan anda mungkin sukar menentukan apa yang boleh menyebabkan masalah pada kulit si kecil.

Antara perkara yang biasanya boleh menyebabkan kerengsaan dan kegatalan ialah sisa makan di tepi mulut, kain bulu dan akrilik, cadar, lapik kusyen kereta, sabun (termasuk buih mandian dan antiseptik) serta bulu haiwan.

Kekalkan kelembapan kulit


Beli pelembap berkualiti baik (dari farmasi) dan guna sekerap mungkin. Ada kanak-kanak perlu pelembap satu atau dua kali sehari. Pelembap pekat lebih berkesan berbanding losyen. Pelembap, minyak mandian dan cecair mandian bebas sabun boleh digunakan untuk menggantikan sabun mandi. Produk ini boleh membersihkan badan sebaik sabun.

Walaupun anda mengelak faktor yang boleh merangsang keresaan dan menggunakan pelembap, rasa gatal dan tanda merah pada kulit tetap ada. Dalam keadaan ini doktor mungkin memberi anak anda krim atau balsam berasaskan kortison. Kortison adalah hormon semula jadi yang dihasilkan badan dan sangat berkesan untuk mengawal ekzema. Ia selamat jika digunakan mengikut arahan.

Kawal anak anda daripada menggaru


Cuba kawal anak daripada menggaru kerana ia menyebabkan ekzema bertambah teruk, selain memudahkan jangkitan berlaku. Elak bercakap ‘jangan’ kerana ia tidak membantu. Sebaliknya, anda boleh meringankan masalah dengan meletakkan kain lembap dan sejuk untuk kelegaan segera. Biarkan kain lembap selama lima hingga 10 minit dan sapukan pelembap.

Alih perhatian anak setiap kali dia menggaru dan elak anak ada di persekitaran panas, terutama ketika tidur atau dalam kenderaan (bagi perjalanan panjang).

Sapu pelembap sekerap mungkin.

Pastikan kuku anak pendek.

Penggunaan kain atau tuala lembap sangat berkesan untuk memberi kelegaan dan gunakan kaedah ini ketika anak mahu tidur. Jika ekzema tidak dapat dikawal dalam masa 24 hingga 48 jam, anda boleh mula menggunakan rawatan kortison.

Kaedah kain lembap perlu dihentikan sebaik ekzema hilang dan diulang jika ekzema menyerang balik. Jika badan anak diserang ekzema, tutup dengan kemeja-T atau baju dalam yang lembap. Cara ini boleh digunakan pada siang dan malam sehingga rasa gatal dan bintik merah berkurang.

Oleh kerana kepanasan adalah perangsang ekzema paling utama, anak anda perlu ada dalam keadaan sejuk dan selesa. Ini boleh dilakukan dengan memakaikan anak baju diperbuat daripada kain kapas, mandikan anak dua kali sehari dengan air sejuk (-29° Celsius) dan usah gunakan gebar kain bulu, sebaliknya gantikan dengan selimut kain kapas.

Beritahu guru sekolah (atau tadika) mengenai masalah anak anda dan cara yang boleh dilakukan jika serangan berulang.

Pemakanan


Kebanyakan kanak-kanak ekzema tiada alahan makanan. Namun dalam sesetengah kes, makanan boleh menjadi perangsang serangan. Jika bayi mengalami ekzema di seluruh badan, anda perlu mengambil kira soal alahan makanan.

Kanak-kanak lebih besar yang mengalami ekzema pada tepi mulut mungkin alah pada makanan berasid dan mengandungi bahan pengawet. Bagaimanapun, jangan cepat prejudis pada mana-mana makanan hinggalah ia terbukti boleh menyebabkan rangsangan pada anak anda. Anak tidak perlu berpantang, kecuali atas nasihat pakar pemakanan.

Rawatan doktor


Dapatkan nasihat doktor jika ekzema anak tidak bertindak balas terhadap semua kaedah biasa. Ini kerana kadangkala tompokan ekzema mengalami jangkitan bakteria atau virus. Dalam keadaan ini, anak mungkin memerlukan antibiotik. Jangkitan boleh menjadi serius dan anak perlu dimasukkan ke hospital, tetapi keadaan ini jarang berlaku.

Jika ekzema bertukar menjadi kudis, ia perlu dirawat dengan baik dan buang kulit atas. Cara paling mudah ialah memandikan anak dengan air sejuk selama 30 minit (untuk melembutkan kulit kudis) dan gosok lembut bahagian ini menggunakan tuala mandi. Sapu ubat ekzema mengikut arahan doktor.

Soalan yang biasa ditanya mengenai ekzema:


Adakah ekzema boleh disembuhkan? Tidak. Ia boleh dikawal dengan kaedah tertentu dan proses ini memakan masa bertahun-tahun.

Adakah anak saya boleh mendapatkan suntikan vaksin seperti kanak-kanak lain? Ya. Ini termasuk kanak-kanak yang tidak makan telur atau lahir dalam keluarga yang alah pada telur. Jarang kanak-kanak mengalami ekzema selepas imunisasi.

Bolehkah anak saya pergi berenang? Ya, ketika tiada serangan ekzema. Sebelum berenang, sapu pelembap dari kepala ke kaki. Sejurus selepas berenang, bilas badan dengan air paip atau mandi dengan minyak mandian diikuti menyapukan pelembap. Jika ekzema menyerang pada malam itu, letak kain lembap sebelum anak tidur.

testimoni psoriasia minyak kelapa dara - BioVCO

testimoni ruam lampin minyak kelapa dara - BioVCO

1 comment:


  1. Artikel yang menarik. Memang ekzema disebabkan oleh radang dan alahan
    pada kulit. Kulit boleh berasa gatal, bersisik dan menebal atau menjadi
    kasar. Salah satu cara untuk mengawal penyakit ini ialah dengan
    mengambil Vitamin C seperti jus buah
    lemon
    dan produk-produk yang mengandungi Vitamin C.

    ReplyDelete