BIASANYA
apabila menghidap satu-satu penyakit, antara nasihat ‘wajib’ yang
diberi doktor ialah jaga makan dan mula bersenam. Namun ramai menganggap
nasihat untuk ‘jaga makan’ itu sebagai berpantang, membuatkan
sesetengah pesakit menjauhi terus kumpulan makanan yang dirasakan boleh
merangsang penyakit mereka.
Memang diakui berpantang itu susah dan hanya orang yang benar-benar
teguh semangat mampu melakukannya, apatah lagi untuk jangka masa
panjang.
Ini sebabnya pakar perubatan menyarankan kita ‘jaga makan’ dengan
mengamalkan pemakanan secara bersederhana, melebihkan sayur-sayuran dan
buah-buahan serta minum banyak air kosong.
Nasihat dan panduan ini juga diberi kepada pesakit gout bagi mengelak
serangan berulang. Ini kerana pemakanan mengandungi banyak sumber
tumbuh-tumbuhan dapat membantu mengurangkan penghasilan asid urik dalam
badan dan secara tidak langsung mengurangkan kekerapan mendapat serangan
gout.
Gout disebabkan pengumpulan asid urik dalam darah; yang terhasil
daripada proses pemecahan makanan. Buah pinggang akan menapis darah dan
menyingkirkan asid urik melalui air kencing.
Bagaimanapun bagi pesakit gout, asid urik tidak dapat disingkirkan
sepenuhnya dan lama kelamaan paras asid urik dalam darah akan meningkat.
Asid urik ini kemudian akan mendap di sendi, terutama pada sendi besar.
Biasanya mendapan berlaku pada sendi ibu jari tetapi ia juga boleh
berkumpul di sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut,
pergelangan tangan, siku dan jari.
Asid urik boleh menyebabkan keradangan pada sendi dan ketika inilah
serangan gout berlaku. Pesakit akan berasa sakit sehingga tidak boleh
menggerakkan sendi terbabit. Malah ada pesakit terpaksa mengambil cuti
sakit setiap kali mengalami serangan gout.
Gout adalah satu daripada penyakit sendi dan serangan pertama biasanya
berlaku dalam lingkungan umur 40 hingga 50 tahun. Bagaimanapun, gout
boleh menyerang semua peringkat umur, termasuk remaja.
Gout juga boleh disebabkan oleh gemuk, tekanan, kerosakan buah pinggang,
penghasilan terlalu banyak asid urik, terlalu sedikit penyingkiran asid
urik, kesan sampingan ubat diuretik dan akibat penyakit lain seperti
tekan darah tinggi serta kebuluran.
Serangan berlaku secara mengejut dan cepat, tidak seperti artritis lain
yang menyerang perlahan-lahan. Sendi terbabit terasa sangat sakit
sehingga jika ditindih dengan kain nipis pun dirasa boleh menambah
kesakitan.
Serangan gout berlaku pada satu sendi dan tanpa rawatan, setiap serangan
boleh berlanjutan antara satu hingga dua minggu. Manakala serangan
kedua biasanya mengambil masa lama (bulan atau tahun) untuk berlaku dan
serangan ini boleh berulang dari semasa ke semasa pada sendi sama.
Dianggarkan 60 peratus pesakit mengalami serangan kedua dalam masa
setahun dan 78 peratus mendapat serangan kedua dalam masa dua tahun.
Hanya tujuh peratus pesakit tidak mengalami serangan berulang dalam
tempoh 10 tahun.
Serangan gout boleh dicetuskan oleh beberapa faktor seperti pengambilan
minuman beralkohol berlebihan, terlalu banyak makan terutama makanan
yang kaya purin, kecederaan kecil pada sendi, tidak cukup minum air,
badan mengalami kekurangan air disebabkan pengambilan sesetengah jenis
ubat dan mengamalkan diet melampau.
Jika tidak diberi rawatan, serangan boleh berlaku dengan lebih kerap,
lama dan mungkin membabitkan sendi lain. Satu perkara penting yang perlu
diketahui ialah, serangan gout yang terlalu kerap boleh merosakkan
sendi dan kerosakan ini adalah kekal, tidak boleh dipulihkan dan akan
menyebabkan pesakit menjadi cacat.
Untuk mengelak kesakitan dan kecacatan inilah, selain pengambilan ubat,
pesakit gout diingatkan berulang kali untuk minum banyak air
sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air masak sehari.
Apabila mendengar saranan ini, ramai pesakit gout, terutama yang sudah
berumur, berasa kurang senang kerana ia akan membuatkan mereka kerap
buang air kecil dan perkara ini dianggap sangat menyusahkan.
Sebenarnya ini antara kaedah kawalan dan pengurusan penyakit gout.
Apabila pesakit minum banyak, air kencing akan menjadi cair dan setiap
kali mereka berulang ke tandas, sebahagian daripada asid urik
dikeluarkan daripada badan.
Antara langkah lain yang perlu dilakukan pesakit ialah:
Kawal makan dengan mengehadkan pengambilan protein daripada sumber
haiwan — sesetengah pesakit beranggapan tidak mengapa makan ikut selera
kerana ubat gout yang ada sekarang berkesan dan boleh menghilangkan
kesakitan akibat keradangan dalam masa beberapa jam. Betul, tetapi
kawalan penyakit gout lebih berkesan dengan menjaga pemakanan.
Ini bukan bermakna pesakit perlu berpantang, tetapi mengurangkan
pengambilan jenis makanan yang kaya purin kerana ia boleh meningkatkan
paras asid urik seperti organ dalaman (otak, hati, buah pinggang, limpa,
jantung), daging angsa, ikan bilis, sardin, ikan kembung dan makanan
laut bercengkerang.
Kajian menunjukkan diet bebas purin hanya dapat mengurangkan 15 hingga
20 peratus paras asid urik. Jadi anda masih boleh makan makanan
kegemaran, tetapi pada kuantiti kecil.
Sebaliknya gantikan dengan sumber protein daripada tumbuh-tumbuhan
seperti kacang dan kekacang. Ia juga dapat membantu pesakit mengurangkan
pengambilan lemak yang boleh mengakibatkan pertambahan berat badan.
Lemak tepu juga dikenal pasti antara penyumbang tidak langsung kepada
masalah gout.
Kawal berat badan. Kegemukan boleh menjejaskan keupayaan badan untuk
menyingkirkan asid urik. Jika anda mempunyai masalah berat badan
berlebihan, mulakan bersenam dan kawal pengambilan makanan supaya berat
badan dapat dikurangkan secara perlahan-lahan. Diet keterlaluan dan
mendadak boleh menyebabkan serangan gout.
Jika anda minum minuman beralkohol, hadkan kepada segelas wain atau satu
tin bir saja sehari. Alkohol boleh meningkatkan paras asid urik dalam
darah dan meninggikan risiko mendapat keradangan (serangan gout). Jika
anda mengalami serangan, jangan minum minuman beralkohol.
Minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya dua liter sehari. Tidak
mengapa jika anda terpaksa berulang ke tandas banyak kali kerana ia
petanda baik. Semakin kerap anda ke tandas, semakin banyak asid urik
dibuang.
Pilih produk tenusu rendah lemak atau bebas lemak. Ada kajian
menunjukkan pengambilan produk tenusu rendah lemak dapat membantu
mengurangkan risiko gout.
Ambil karbohidrat kompleks — sasarkan untuk makan lebih banyak bijirin,
sayur dan buah. Kurangkan makanan mengandungi karbohidrat yang diproses
seperti roti putih dan kek.
Hadkan pengambilan gula — terlalu banyak gula akan membuatkan kita
kurang makan buah, sayur dan bijirin. Makanan yang banyak gula juga
banyak kalori yang akan membuatkan anda lebih senang mengalami
pertambahan berat badan.
Rawatan tanpa ubat
Penyakit gout disebabkan oleh masalah untuk menyikirkan asid urik
berlebihan dalam badan. Metabolisma asid urik tidak dapat dilakukan
dengan betul dan menyebabkan akumulasai/pengumpulan asid urik pada salur
darah dan sendi. Komplikasi gout adalah gouty atritis dan boleh
menyebabkan destruksi/kerosakan sendi dan deposisi urate pada kulit dan
rawan. Asid urik berlebihan pada sendi adalah dalam bentuk kristal.
Sebab itulah pesakit atritis akan mengalamai pembengkakan pada sendi
terutamanya sendi jari dan kaki.
Minyak Kelapa Dara boleh membantu masalah gout kerana ia mempunyai
keupayaan untuk proses detoksifikasi. Proses ini adalah proses
pembuangan bahan yang tidak diperlukan oleh badan (hazard). Maka asid
urik yang berlebihan pada sendi dapat disingkirkan.
Antara kesan permulaan penggunaan Minyak Kelapa Dara bagi pesakit gout
adalah mereka mungkin mengalami sakit yang pada kawasan sendi. Walau
bagaimanapun pengguna dinasihatkan terus menggunakan Minyak Kelapa Dara
kerana kesan ini adalah untuk sementara waktu sahaja. InsyaAllah
kesannya akan dapat dilihat selepas sebulan memakan Minyak Kelapa Dara.
Walau bagaimanapun kesan Minyak Kelapa Dara adalah bergantung kepada
tahap kesihatan dan kadar metabolisma badan individu.
Bagi pesakit gout cara penggunaan yang dicadangkan adalah 1-2 sudu besar
sehari. Amalkan memakan Minyak Kelapa Dara sebelum sarapan dan makan
tengah hari.
No comments:
Post a Comment