WALAUPUN strok boleh menyerang sesiapa pada bila-bila masa, ia tidak berlaku begitu saja, kata Profesor C.T. Tan, Presiden Persatuan Sains Neuro.
Simptom tertentu seperti kebas atau pertuturan yang tidak jelas boleh
berlaku tiba-tiba tetapi keadaan yang sebenarnya (dikenali sebagai
penyakit cerebrovascular) hanya akan dikesan bertahun-tahun selepas
serangan strok berlaku.
Bagi mencegah serangan itu, mereka yang mempunyai risiko untuk diserang perlu mengetahui faktor yang mengakibatkannya.
Sungguhpun tiada faktor risiko yang dapat dielak seperti umur, sejarah
keluarga dan jantina (lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi
berbanding wanita). Prof. Tan berkata, 70 hingga 80 peratus strok
berpotensi untuk dihalang.
Rawatan awal terhadap tekanan darah tinggi adalah cara yang paling efisien untuk menghalang serangan strok.
Tekanan darah tinggi berlaku pada 60 hingga 70 peratus pesakit strok dan
50 peratus kes kencing manis mempunyai tekanan darah tinggi.
Tekanan darah tinggi atau hypertension adalah sesuatu yang biasa. Namun
kebanyakan orang yang menghidapnya berasa sihat dan tidak sedar mereka
mempunyai masalah - walaupun tekanan darah mereka sudah sampai ke tahap
yang membahayakan.
Ia tidak mempunyai simptom yang dapat dikesan, menyebabkan mereka hanya
mengetahuinya kali pertama apabila mereka terkena strok atau Transient
Ishemic Attack (TIA) yang dikenali juga sebagai strok kecil.
Secara umumnya, jantung berdenyut sekitar 70 hingga 80 kali seminit. Ia
menyalurkan darah melalui arteri ke segenap bahagian badan - ia kembali
ke jantung melalui vena.
Tekanan darah ialah kekuatan yang dikenakan ke atas otot arteri oleh darah yang mengalir ke jantung melalui tubuh badan.
Tekanan yang berlaku apabila otot jantung mengepam dikenali sebagai
tekanan darah sistolik - yang lebih tinggi daripada dua angka dalam
bacaan tekanan darah. Tekanan dalam arteri apabila otot jantung
mengendur dikenali sebagai tekanan diastolik - angka rendah pada bacaan.
Kebanyakan doktor kini percaya bacaan tekanan darah yang normal
sepatutnya tidak lebih daripada 140/90 bagi lelaki dan wanita. Sekiranya
bacaan tekanan darah kerap melebihi 140/90 pada dua keadaan, anda
mempunyai tekanan darah tinggi.
Tekanan darah tinggi memberikan tekanan kepada pembuluh darah. Ia boleh
menyebabkan pembuluh menjadi tebal dan rosak, yang mengakibatkan jantung
terpaksa bekerja lebih keras untuk mengalirkan darah melaluinya.
Perubahan ini boleh menyebabkan masalah yang serius termasuk strok.
Ia berpunca daripada beberapa sebab. Tekanan darah tinggi boleh
mengakibatkan ketulan kolestrol dan kandungan lemak terbebas daripada
dinding arteri, menyebabkan arteri di otak tersumbat.
Ia mengakibatkan pembentukan selaput pada arteri menjadikan ia lebih
mudah tersekat oleh ketulan darah. Dan tekanan yang berlebihan boleh
mengakibatkan pembuluh darah pecah, menyebabkan pendarahan dalam otak,
satu lagi punca strok.
Prof. Tan menyarankan supaya orang ramai membuat ujian tekanan darah
tinggi sekurang-kurangnya sekali setahun dan mereka yang berumur di
bawah 30 tahun, dua kali setahun bagi mengelak sebarang masalah yang
tidak diingini.
Sekiranya anda dikesan mempunyai tekanan darah tinggi, jangan panik.
Tekanan darah tinggi yang rendah dan sederhana boleh dirawat. Lebih
cepat lebih baik.

No comments:
Post a Comment