
Minyak dan kolesterol merupakan istilah yang amat sinonim. Kita seringkali diberitahu tentang kemudaratan yang dibawa oleh minyak. Walau bagaimanapun tahukah anda minyak kelapa dara mempunyai khasiat yang menakjubkan? Seperti yang kita ketahui minyak terdiri daripada asid lemak. Asid lemak pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu asid lemak tepu dan asid lemak tak tepu. Faktor utama yang membezakan kedua-dua lemak ini adalah ikatan kimianya. Asid lemak tepu menunjukkan ikatan kimia yang lebih stabil berbanding dengan asid lemak tak tepu, ini berdasarkan jumlah atom yang terikat padanya. Keadaan struktur kimianya yang stabil ini menyebabkan ianya sukar dioksidakan berbanding dengan asid lemak tak tepu. Pengoksidaan asid lemak meyebabkan penghasilan radikal bebas yang reaktif dan memudaratkan dalam badan.

