photo banner-598x80-001a_zps49a50159.gif

Wednesday, February 27, 2013

Minuman berkarbonat disyaki punca diabetes

Minuman berkarbonat disyaki punca diabetes

KEHIDUPAN sebagai pesara nyata memberi impak berbeza kepada Raja Abdul Rahman Raja Musa, 55, yang menghidap diabetes atau kencing manis sejak 15 tahun lalu.

Pesara sebuah syarikat cari gali minyak ini mengakui, rutin hariannya berubah selepas bersara. Ini memberinya lebih peluang untuk berehat dan menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Bagaimanapun, Raja Abdul Rahman mengakui ini secara tidak langsung mengganggu pengurusan penyakitnya.

“Setiap pesakit berbeza impak pengurusan penyakit dan faktor yang menyebabkan gula dalam darahnya meningkat. Bagi saya, sejak kebelakangan ini, ia sering tidak menentu dan kerap naik turun kerana tabiat pemakanan yang kurang berdisiplin.

“Walaupun peningkatannya tidak begitu serius, namun pengambilan karbohidrat seperti nasi yang berlebihan menyumbang kepada keadaan ini,” katanya ketika ditemui Berita Minggu di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pesara berasal dari Ipoh, Perak ini menjelaskan, bacaan gula dalam darah sangat baik dan beliau berasa segar menjalani ibadat berpuasa. Namun, sebagai manusia biasa, keadaan itu secara tidak langsung mendorongnya untuk mengambil makanan yang tidak sepatutnya diambil secara berlebihan sehingga bacaan gula dalam darah meningkat dan tidak menentu.

“Saya teruja dengan bacaan yang baik itu dan mula menyimpang dari diet dan rutin harian sehingga bacaan meningkat. Ini menyebabkan saya sering rasa kurang segar pada waktu pagi dan petang.

“Keadaan begini sering mengheret pesakit kembali kepada doktor yang akan membantu mengubahsuai rutin diet dan pengambilan ubatan dan insulin bagi menurunkan bacaan,” jelasnya lagi yang mengakui jika tidak kerana sokongan keluarga dan anak-anak yang agak tegas memantau kesihatannya, mungkin keadaannya lebih tidak terkawal.

Mengikut pengalaman Raja Abdul Rahman, beliau akan mengambil ubat dua kali sehari iaitu pada waktu bersahur dan berbuka. Bagaimanapun, beliau tidak berani mengambil insulin ketika bersahur kerana pernah mengalami rasa lapar sehingga tidak tahan untuk meneruskan puasa lalu terpaksa berbuka awal kerana bimbang memudaratkan diri.

Bercerita mengenai latar belakang penyakitnya, selain mempunyai ibu dan ayah yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, beliau percaya tabiat kurang baik yang terlalu gemar minuman berkarbonat ketika muda menjadi antara faktor yang menyebabkan beliau menghidap diabetis.

Malah, akibat keadaan bacaan gula yang tidak menentu, ia menjejaskan penglihatan Raja Abdul Rahman sehingga pakar optometri sukar menentukan kuasa cermin mata yang ideal akibat terlalu kerap berubah-ubah mengikut naik turun tahap kesihatannya.

“Berasa tidak segar dan tidak selesa setiap kali pagi dan petang menjelang bukanlah suatu keadaan yang harus dilalui semua orang. Saya mahu mengingatkan diri sendiri dan semua individu di luar sana, apa saja makanan jika diambil dalam jumlah yang berlebihan pasti akan memudaratkan.

“Ketahuilah had kemampuan diri, cubalah untuk mendisiplinkan diri, jangan menyimpang dari rutin diet dan ubat-ubatan yang ditetapkan serta jangan lupa untuk kerap bersenam,” katanya.

No comments:

Post a Comment