KAJIAN dilakukan Universiti Arizona di Amerika Syarikat, mendapati kira-kira 200,000 bakteria pada setiap 12.9 sentimeter persegi lantai. Justeru itu, bayangkan lantai di kediaman kita tidak mustahil dipenuhi bakteria atau kuman berbahaya.
Sehubungan itu, kediaman yang sempurna, bersih dan terpelihara daripada
kekotoran atau bahaya adalah syurga bagi keluarga, terutama jika
mempunyai anak kecil yang tidak tahu membezakan persekitaran selamat
mahupun tidak, bersih atau kotor.
Selain lantai, kawasan seperti bilik air, tandas dan dapur terutama
permukaan sinki antara kawasan yang mungkin dihuni bakteria berbahaya
tetapi tidak dapat dilihat mata kasar manusia menyebabkan kita hanya
membersihkan setiap hari sambil lalu tanpa terfikir bahawa bakteria
masih kekal di situ.
Di Malaysia, kesedaran terhadap kewujudan bakteria, virus dan kulat di
tempat yang tidak dapat dilihat masih berada di tahap rendah.
Menyedari hakikat itu, jenama peluntur nombor satu negara, Clorox dengan
kerjasama Kementerian Kesihatan dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan
Kemoterapi Malaysia (MSIDC) menganjurkan Bulan Mencegah Jangkitan Kuman
(IPMM).
Kempen yang berlangsung selama sebulan itu diadakan setiap Oktober dan
diharap dapat meningkatkan kesedaran selain membantu rakyat negara ini
mencegah kuman punca utama penyakit.
Ia juga secara tidak langsung mengetengahkan pendekatan menyeluruh di
samping memberi petua dalam usaha mencegah jangkitan misalnya tahap
kebersihan diri yang baik, pengendalian serta penyediaan makanan secara
bersih dan selamat selain cara hidup sihat, imunisasi dan penjagaan ahli
keluarga sakit.
Presiden MSIDC, Prof Dr Yasmin Abdul Malik, berkata penyakit berjangkit
kian menjadi masalah global yang sangat membimbangkan dan penambahan
jenis virulen patogen (penyebab penyakit) juga memburukkan keadaan di
serata dunia.
“Sejak 20 tahun lalu, kita mengesan peningkatan prevalen jangkitan
biasa. Kini kita berhadapan epidemik bermusim dan pandemik pada skala
yang belum pernah dialami sebelum ini.
“Disebabkan itu, orang ramai tidak terdaya melawan ancaman ini walaupun
hakikatnya terdapat cara yang mudah mengatasinya. Apa yang diperlukan
adalah pengetahuan asas dan beberapa langkah pencegahan mudah menghalang
penyakit ini daripada terus merebak,” katanya.
Beliau berkata, penekanan diberi terhadap isu kebersihan persekitaran
dan pembasmian kuman pada permukaan kerana meskipun ramai sedar
kedua-dua isu berkenaan, masih kurang yang mengambil berat sedangkan
kelalaian terhadap isu ini menjadi penyebab utama jangkitan.
“Hari ini terdapat pelbagai jenis vaksin dan ubat bagi membantu mencegah
jangkitan tetapi petua pencegahan mudah seperti sanitasi dan penjagaan
kebersihan perlu diberi keutamaan setiap individu dan inilah sebabnya
kita perlu mengingatkan orang awam mengenai cara betul membasmi kuman di
tempat tinggal, kerja, makan dan bermain,” katanya pada majlis
pelancaran itu.
Majlis itu turut diikuti seminar dihadiri ahli profesional penjagaan
kesihatan termasuk Ketua dan Pakar Kanan (penyakit berjangkit), Dr
Christopher Lee yang juga memberi ceramah mengenai Trend Semasa dalam
Penyakit Berjangkit: Kepentingan Pencegahan serta Ahli Mikrobiologi; dan
Profesor Jabatan Tanah, Air dan Sains Persekitaran Universiti Arizona,
Prof Dr Charles Peter Gerba.
Dalam temubual yang diadakan di Balai Berita baru-baru ini, Dr Gerba
menegaskan penting bagi setiap rumah terutama yang mempunyai anak kecil,
menjaga kebersihan bagi mengelak jangkitan kuman yang seterusnya
menyebabkan pelbagai penyakit berjangkit seperti demam dan selesema.
“Penyakit berjangkit adalah penyebab ketiga kematian di Amerika Syarikat
hari ini, namun bagi negara membangun, ia adalah yang pertama.
Kira-kira 80 peratus jangkitan biasa seperti selesema dan cirit-birit
merebak melalui persekitaran (udara, air dan makanan).
“Tempat seperti sinki, lantai dapur, papan pemotong, tempat duduk tandas
adalah lokasi utama yang digemari bakteria. Hasil kajian mendapati
lantai bilik air antara tempat paling digemari bakteria dengan 18,025
diikuti lantai dapur, 2,546 dan permukaan dapur sebanyak 1,686,”
katanya.
Kajian di Amerika Syarikat turut mendapati, pembasmi kuman menghalang 50
peratus ketidakhadiran di sekolah. Kesimpulannya, kebersihan yang baik
memberi kesan kepada kesihatan manusia daripada pembangunan vaksin dan
antibiotik.
Turut hadir dalam sesi temubual ialah Pengarah Kesihatan Global Clorox,
Ricardo J Leon. Beliau berkata Clorox sudah menjalankan tanggungjawab
sosial korporat di kebanyakan negara dan peluntur ini diiktiraf
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kebanyakan pembasmi kuman lain perlu digunakan tanpa campuran air
supaya ia boleh membunuh kuman. Jika anda inginkan lebih kepastian,
periksa label dengan teliti dan lihatlah sendiri hasilnya.
“Ia turut disyorkan pihak berkuasa kesihatan, WHO serta Pusat Kawalan
dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat juga mengesyorkan penggunaan
peluntur bagi membunuh virus, bakteria dan kulat seterusnya membantu
menghentikan penyebaran jangkitan,” katanya.
Pengarah Pemasarannya, Lee Swee Chin pula berkata, banyak sebab mengapa
rakyat negara ini perlu memilih Clorox terutamanya kerana ia adalah
jenama peluntur peneraju pasaran Malaysia.
“Ia juga terbukti secara saintifik membunuh 99.9 peratus kuman, tidak
berasid atau menghakis, paling efektif apabila digunakan mengikut
sukatan betul dan paling utama, untuk membasmi kuman Clorox,” katanya.
No comments:
Post a Comment